Message

"Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya . . . Walaupun kita tidak mendapat apa yang dihajatkan...cukuplah kita bersyukur dengan apa yang kita miliki sekarang."

Just want to share . . .

Dalam warkah kali ini, terdapat beberapa peristiwa yang menarik untuk aku kongsikan dengan semua.

Peristiwa pertama adalah berkenaan isu bangunan retak. Mungkin ramai yang sedar bahawa UiTM Sabah buat pertama kalinya mengalami kejutan bilamana isu kompleks sukan retak dibawa ke pengetahuan Parlimen. Laporan yang dihantar oleh Audit Negara itu telah mencetuskan kegusaran ramai pihak terutamanya pentadbiran UiTM Sabah. Walaupun bagi warga UiTM Sabah sendiri, isu itu sudah lama namun oleh kerana isu ini telah dibawa ke Parlimen, kedengaran kembali suara-suara yang ingin menuding jari kepada satu sama lain. Mencari siapa yang salah… Dalam laporan tersebut, dinyatakan bahawa bangunan kompleks sukan UiTM KK telah dibina dengan menggunakan pasir laut yang telah menghakis struktur utama bangunan. Perkara-perkara begini sememangnya mengundang persoalan mengapa ia dibenarkan dan siapa yang bertanggungjawab? Selain itu, turut dilaporkan bahawa RM 1.2 juta telah dibelanjakan pada tahun 2002 dan lebih RM 180 ribu ditambah pada tahun 2008 bagi membaiki semula kerosakan. Sekali lagi mengundang persoalan ke manakah wang tersebut telah dibelanjakan memandangkan jika dilihat secara kasar, pembaikan yang dilakukan dalam tempoh tujuh tahun ini tidaklah setimpal dengan nilai yang dilaporkan oleh Audit Negara. Aku bukannya pakar untuk menilai dan mungkin pihak bertanggungjawab ada alasan sendiri untuk isu ini. Apa-apapun, kita hanya mampu menunggu apa lagi tindakan kerajaan terhadap isu ini memandangkan ia telah menjadi isu nasional.

Peristiwa kedua ialah berkenaan bajet 2010 yang telah dibentangkan olah YAB Perdana Menteri Datuk Seri najib Tun Abd Razak. Pembentangan kali ini cukup menarik kerana ia adalah kali pertama Perdana Menteri membentangkan bajet setelah mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Bajet ini juga menjadi landasan kepada perancangan kerajaan untuk berhadapan dengan situasi ekonomi sekarang yang masih belum kukuh sepenuhnya. Aku tidak mahu komen semua berkenaan bajet, aku cuma ingin menyentuih sedikit berkenaan faedah yang diperoleh selaku mahasiswa dan pelajar. Bajet kali ini menyaksikan pelajar mendapat faedah yang menggalakkan memandangkan golongan pelajar sekarang diberi pakej mendapatkan notebook dan broadband hanya dengan RM50 sebulan selama dua tahun. Manakala pinjaman PTPTN akan menjadi biasiswa kepada pelajar ijazah sarjana muda kelas pertama. Ini akan menggalakan lagi pelajar untuk lebih menempa kejayaan dalam pendidikan. Bajet kali ini sememangnya mencabar untuk diukir berdasarkan ekonomi semasa dan aku yakin kerajaan telah membuat satu pembentangan yang menarik. Bak kata TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau menyifatkan bajet ini sebagai belanjawan rakyat dan antara yang terbaik pernah dibentangkan. Apa-apa pun syabas kepada Perdana Menteri khasnya dan kerajaan amnya kerana cukup prihatin dengan semua golongan rakyat. 1Malaysia mampu menjadi pemacu kejayaan.

Peristiwa ketiga pula adalah berkenaan anugerah Datuk. Kali ini, Pengarah Kampus UiTM Sabah telah dipilih sebagai penerima anugerah gelaran Datuk sempena ulang tahun kelahiran TYT Sabah. Datuk Profesor Madya Dr. Worran Haji Kabul yang mula bertugas sebagai Pengarah kampus pada tahun 2005 sememangnya layak dianugerahkan gelaran ‘Datuk’ kerana sepanjang pentadbiran beliau, banyak kejayaan telah dilakar oleh UiTM Sabah. Pentadbirannya yang mesra pelajar sememangnya diakui sebagai penggerak kejayaan. Aku sempat e-mail kepada beliau sempena penganugerahan ini kerana aku banyak berhutang jasa dengan beliau termasuklah dalam pertukaran aku dari UiTM Shah Alam ke kampus Sabah. Jadi tidaklah keterlaluan jika aku menyanjungnya kerana budi perlu dibalas dengan hormat. Tahniah Datuk Profesor Madya Dr Worran Haji Kabul, Pengarah Kampus UiTM Sabah.



Cukuplah tiga peristiwa tersebut menjadi bahan perkongsian aku kali ini. Bukan ingin menyindir sesiapa dalam tulisanku, tapi cukuplah sekadar renugan bersama dan semoga kejayaan yang dinukilkan menjdi pencetus modal insan yang dinamik dan berintegriti.

p/s: 1Malaysia memacu kegemilangan UiTM . . .

No comments:

Post a Comment